Bercuti ke Pulau Perhentian
Hai semua! Okay harini saya nak berkongsi sedikit cerita mengenai pengalaman saya bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu. Siapa yang tak pernah dengar tentang Pulau Perhentian? Kalau pernah, bila lagi nak merasai keindahannya sendiri? Bagi yang tak pernah, percayalah cakap saya, percutian ke pulau ini akan menjadi salah satu memori yang paling sukar dilupakan seumur hidup anda.
Pertama sekali, dua aktiviti utama yang wajib dilakukan di Pulau Perhentian adalah snorkeling dan juga mandi laut. Aktiviti snorkeling boleh dilakukan sama ada pada waktu pagi mahupun petang, bergantung kepada operator pelancongan yang mengendalikan pakej percutian tersebut. Anda semua akan dibawa menaiki bot laju dan melakukan aktiviti snorkeling di beberapa tempat utama seperti Blue Lagoon, Tutle Point/Turtle Bay, Shark Point dan juga Coral Garden.

Seterusnya, anda semua boleh mandi manda di pantai. Ada Pantai Romantik, ada Pantai Teluk Pauh dan beberapa pantai lain yang sememangnya mempunyai pasir pantai yang putih dan cantik selain air lautnya yang sangat jernih. Selain itu, anda semua boleh melakukan aktiviti treking. Mungkin ramai yang tidak tahu, ada beberapa laluan menghubungkan beberapa lokasi di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan juga Pulau Perhentian Besar yang sesuai untuk aktiviti trekking ringan. Cabarannya ialah anda perlu melalui denai kecil yang berbatu serta titian tinggi yang ada dalam laluan trekking ini.Anda boleh berjalan antara Coral View Island Resort dengan Perhentian Island Resort melalui papan kayu yang tinggi melewati tebing-tebing berbatu.
Jadi, itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Jumpa lagi di catatan yang akan datang. Bye!
Ulasan
Catat Ulasan